08 November, 2009

Radio Lama Aku

Ni la radio pertama yang berjaya aku miliki pada tahun 1975. Tapi sayang radio ini hanya tinggal bodynya sahaja. Barang-barang kat dalam ntah dimana aku letak. Radio ni banyak meninggalkan nostalgia dalam hidupku. Masa tu harganya $15.00 (masa tu harga dalam $ dan bukannya RM). Nak dapatkan radio ni bukan senang. Aku kumpul duit sekolah yang mak aku bagi 10 sen satu hari ( 10 sen masa tu boleh beli sepinggan nasi). Bila cukup simpanan aku beli la radio ni kat kedai buku yang jual radio ni ( kedai buku Tuan Maidin). Radio ni guna bateri saizAA dua biji. Aku beli radio ni tanpa pengetahuan ayah aku . Kalau dia tahu siap la aku... Aku simpan radio ni dalam tempayan belakang Baloh padi ayah aku. (Baloh padi atau Tepas padi adalah tempat menyimpan padi yang telah diketam). Apabila nak dengar radio ni aku bawa radio ni ke sawah padi atau atas pokok Setar atau pokok Menseta(pokok manggis). Selain tu aku pernah bawa radio ni ke sekolah. Masa cikgu mengajar aku dengar guna fon telinga yang dibekalkan. Sambil tu aku pura-pura baca buku. Tapi akhirnya tertangkap juga. Ustaz Hamdan (masih ada lagi ke beliau??) lihat di telinga aku ada wayar putih. Dia sangkakan aku kurang pendengaran. Lalu beliau tanya aku... Mana aku dengar pertannyaanya kerana masa tu aku dok syok dengar lagu " Bujang bertemu Janda" nyanyian Ahmad Daud dan SA Aisyah.. Kawan-kawan aku apa lagi terus la cerita kat ustaz tu yang aku selalu bawa radio kat sekolah (mereka dengki la tu kerana mereka mana ada radio kecil macam aku...hehehe). Ustaz tu minta aku serahkan radio tu kepadanya. Aku bimbang takut kena rampas... tapi sporting juga ustaz tu.. dia minta nak dengar kejap... lepas tu dia bagi balik padaku... lega rasa hatiku.

Tiada ulasan: