Assalamualaikum, salam sejahtera. Posting kali ini saya berkaitan dengan cara mengecas bateri semasa ketiadaan bekalan elektrik. Semasa banjir besar seperti yang berlaku di Kuala Krai pada Disember 2014, bekalan elektrik telah diputuskan oleh TNB kerana boleh membahayakan nyawa. Ramai yang menggunakan lilin sebagai sumber cahaya pada malam hari. Saya bernasib baik kerana saya ada sebuah bateri kereta yang selalu dicas penuh (disambung sepenuh masa dengan transformer untuk mengecas bateri). Bateri ini saya gunakan untuk Rig mobile di base saya. Dengan bateri inilah saya sambungkan dengan lampu LED untuk menerangi rumah pada malam hari. Tetapi masalahnya dalam keadaan banjir yang berlaku agak lama, kekurangan kuasa pasti berlaku. Saya fikir cara terbaik bolehlah kita gunakan alternator kereta yang disambungkan dengan alat pengayuh basikal untuk menghasilkan tenaga elektrik. Walaupun menggunakan tenaga manusia untuk mengerakkan alternator tersebut, sekurang-kurangnya dapatlah menghasilkan tenaga untuk mengecas bateri. Sumber tenaga amat bermakna semasa berlakunya bencana. Daripada tiada langsung, lebih baik ada walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk menghidupkan lampu dan handy talkie (radio amatur) untuk menghantar isyarat berita kepada pihak berkuasa atau pihak NGO yang ingin memasuki kawasan bencana untuk menghantar bantuan makanan dsb.