Anda seorang yang pendiam, peramah, atau banyak mulut?
Penting sangat ke nak kena tahu? Ya, bagi saya perlu tahu pada label manakah kita berada. Supaya kita tahu sejauh mana kita menjaga amanah Allah ini.
Dalam kalangan keluarga, saya dilabelkan sebagai seorang yang pendiam. Biasanya, saya membiarkan orang lain yang bercakap dan saya hanya mendengar, dan menjawab apabila ditanya.
Tetapi apabila sudah dilabelkan begitu, saya terfikir, bagaimana nak mendekati mad'u kalau saya ni terus-terusan menjadi pendiam dan tak banyak cakap. Lalu saya cuba memaksa diri berubah, menjadi sedikit peramah, cuba menunjukkan minat untuk berkenalan dengan orang-orang yang baru dikenali; dan berbual dengan orang sekeliling, berubah daripada sifat kebiasaan yang dulu.
Ternyata perubahan itu membuahkan hasil yang menggembirakan. Bukan gembira kerana dikenali ramai, tapi kita rasa gembira dan puas hati dapat menjadikan orang lain selesa dengan kita. Dan sudah tentu dapat mewujudkan jaringan kenalan yang lebih ramai. Siapa yang tidak suka kalau kita sentiasa beramah mesra dan selalu ambil berat terhadap orang lain? Dan saya fikir semua itu adalah ciri-ciri permulaan yang baik untuk menarik mad'u.
Tapi macam mana dengan mereka yang terlalu peramah, atau senang cerita, banyak cakap?
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam..."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadikan hadis ini sebagai panduan yang mudah. Kalau kita memang jenis peramah, lontarkan kata-kata yang baik. Awasi setiap kata-kata kita supaya apa yang keluar daripada mulut kita bukanlah suatu umpatan, cacian, ejekan, gurauan yang berlebihan dan sebagainya. Kalau rasa selalu saja terbabas, didiklah diri supaya berhenti bercakap dan diam pada perkara yang tidak sepatutnya diucapkan.
Tapi susah kan nak berhenti kalau dah terbiasa? Betul. Berubah dari buruk kepada baik memang susah, akan sentiasa ada ujian dan halangan, lebih-lebih lagi perkara mazmumah itu sudah biasa dilakukan. Mujahadah yang sangat kuat memang diperlukan. Insya Allah dalam kepayahan itu ada ganjarannya.
Sama ada anda seorang pendiam, peramah atau banyak cakap, sentiasa awasi kata-kata anda . Andai anda pendiam orangnya, pastikan diam anda adalah zikir dan bukannya takut menyatakan kebenaran. Andainya anda peramah orangnya, gunakan keramahan itu untuk menyampaikan perkara kebaikan kepada orang lain. Andainya anda suka bercakap, sentiasa ingatkan diri supaya tekan brake pada tempat yang betul dan lontarkan kata-kata yang baik sahaja.
Mulut itu memang mudah berbuat dosa andai tuannya tidak pandai mengendalikannya dengan baik. Ingatlah, melalui percakapan, dakwah dapat disampaikan. Melalui percakapan juga catatan dosa bisa tertulis dalam buku amalan. Pilihlah yang mana satu yang anda mahu.
1 ulasan:
sy pn pendiam..org akan cari sy time susah.time senang takde nak tanya khabar aku..hmmm..manusia manusia..
Catat Ulasan