30 Mei, 2010

TIPS MENGHAFAZ AL QURAN

Sebelum menghafaz

1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafaz
2. Memilih waktu dan tempat yang sesuai untuk menghafaz.
3. Berada dalam keadaan tenang.
4. Kosongkan fikiran sebelum menghafaz.
5. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
6. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafaz.

Teknik Menghafaz

A. Teknik Memecah-mecahkan

1. Memecah-mecahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memecah-memecahkan selembar muka surat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memecah-mecahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memecah-mecahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut maqra’, surah, hizib, cerita dan sebagainya.
5. Memecah-mecahkan Al-Qur'an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.

B. Teknik Mengulang

1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafaznya.
2. Membaca ayat yang telah dihafaz berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafaz setiap setengah muka surat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafaz satu muka surat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafaz bahagian Al-Qur'an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.

C. Teknik Tumpu dan Ingat

1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, muka surat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau muka surat tersebut dengan mata tertutup.

D. Teknik Menghafaz Dengan Seorang Teman

1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.

E. Teknik Mendengar Kaset

1. Pilih seorang qari' yang baik bagi seluruh surah Al-Qur'an atau beberapa qari' bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafaz, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafaz beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari' tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafaz ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari' tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur'an.

F. Teknik Merakamkan Suara

1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafazan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafaznya.

G. Teknik Menulis

1. Tulis kembali muka surat yang telah dihafaz.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal muka surat, atau setiap maqra’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.

H. Teknik Menghafaz Sebelum Tidur

1. Membaca atau menghafaz beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisinya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau maqra’, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafaz. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.

I. Teknik Peta Minda

1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu maqra'. Tulis ayat pertama maqra' tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau maqra'.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi maqra'.

Mengekalkan Hafazan

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyakkan berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
5. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
6. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau mengantuk.
7. Makan makanan yang baik seperti madu dan kismis.

Tiada ulasan: